INFORMASI HERBA NUSANTARA

Nusantara: Titik Panas untuk Biodiversiti

Di mymolek.com, kami berusaha meningkatkan kesedaran generasi kini tentang kepentingan kelestarian alam dan memelihara khazanah hutan hujan tropika Nusantara demi kesejahteraan masa depan.

Seluruh wilayah Nusantara berkongsi satu iklim dan ekosistem yang stabil sejak berjuta tahun lamanya. Tempoh kestabilan iklim yang panjang ini telah memungkinkan munculnya kepelbagaian flora dan fauna yang paling terbaik pernah ditemui di planet bumi ini. Kepelbagaian kehidupan ini disebut sebagai “biodiversiti”.

Walaupun hutan hujan tropika hanya meliputi kurang daripada 10% permukaan bumi, namun biome ini menempatkan lebih separuh daripada keseluruhan spesies haiwan dan tumbuhan di seluruh bumi. Hutan tropika tebal ini adalah tempat asal kepada kira-kira 1,671 spesies amfibia, burung, mamalia dan reptilia yang pernah diketahui. Daripada jumlah ini, 13.9% adalah endemik, bermakna ia tidak wujud di tempat lain di bumi ini, dan 9.3% daripadanya sudah dianggap sebagai spesies terancam.

Malaysia sahaja menempatkan sekurang-kurangnya 15,500 spesies tumbuhan vaskular, di mana 23.2% daripadanya adalah endemik. Sekurang-kurangnya 1,000 daripada tumbuhan vaskular ini adalah pokok palma. Antara tahun 1854 – 1862, Naturalis hebat Alfred Russel Wallace, sezaman dengan Charles Darwin, pernah merantau di Asia Tenggara dan mengembara secara meluas di rantau ini untuk mengumpul dan merekodkan spesimen organisma hidup. Tempat tinggal beliau ialah di daerah yang kini dikenali sebagai Teluk Wallace, di luar pantai Tawau, Borneo Utara. Pada penghujung lapan tahun persinggahan ini Wallace mengumpul dan membawa pulang ke London 125,600 spesimen, 80,000 daripadanya adalah pelbagai jenis kumbang. Kerja-kerja perintis beliau adalah monumental dalam dokumentasi saintifik tentang kepelbagaian biodiversiti besar hutan hujan tropika Nusantara.

Photo by Wan Izzuddin: Fern leaves busking under the tropical sun.
Photo by Wan Izzuddin: Fern leaves busking under the tropical sun.

Hutan hujan Borneo di mana Wallace menjalankan ekspedisinya kini telah berusia 130 juta tahun, menjadikannya hutan hujan tertua di dunia. Kepelbagaian biologi “biodiversiti” Borneo, iaitu pulau ketiga terbesar di dunia, adalah amat ajaib sekali. Ia adalah habitat kepada 15,000 spesies tumbuhan berbunga dengan 3,000 spesies pokok, 221 spesies mamalia darat dan 420 spesies burung pemastautin. Pulau besar itu juga menempatkan 440 spesies ikan air tawar (kira-kira sama dengan yang terdapat di Sumatera dan Jawa digabungkan).

Kepelbagaian kehidupan yang sangat menakjubkan ini adalah hasil daripada proses yang memakan masa berjuta-juta tahun lamanya dan melahirkan banyak spesies tumbuhan dan haiwan yang dianggap sebagai endemik (pemastatutin asal). Banyak spesies mamalia endemik menjadikan Borneo sebagai habitat semula jadi mereka, seperti orangutan, gajah Asia, badak sumbu Sumatera, harimau keruh Borneo, musang Hose dan kelawar buah Dayak. World-Wide Fund for Nature menganggarkan bahawa 361 spesies haiwan dan tumbuhan telah ditemui di Borneo sejak 1996. (Sumber: Wikipedia).

Hutan hujan juga merupakan habitat kepada banyak organisma kecil dan juga mikroorganisma – yang tidak mudah dilihat dengan mata kasar. Tampalan kecil tanah di lantai hutan contohnya ialah habitat mikro yang sempurna untuk semut, labah-labah, kutu, kumbang, cacing tanah, kaki seribu, siput, nematod, hama, larva lalat, kulat, bakteria dan alga – semuanya wujud dalam rangkaian kehidupan yang saling bergantungan yang amat kompleks sekali. Semua ini wujud dengan harmonis di dalam satu komuniti mampan dan padu sejak berjuta-juta tahun lamanya. Pernah dibandingkan bahawa satu hektar hutan di Michigan Utara hanya boleh menampung 8 spesies pokok manakala kawasan yang sama di hutan Nicaragua boleh menampung sehingga 200 spesies. Kajian lain menunjukkan bahawa 545 spesies serangga telah dikumpul dalam satu hektar hutan di Costa Rica. Ahli entomologi terkenal dan pengarang hebat E.O. Wilson pernah menemui 43 spesies semut dalam satu pokok di kawasan tropika.

Satu keluarga pokok yang banyak terdapat di hutan hujan tropika Nusantara ialah keluarga Dipterocarpacea. Biasanya keluarga pokok ini membentuk 80% daripada kanopi dan 40% daripada bahagian lantai hutan. Dipterokarpa merupakan pokok dengan daun malar hijau dan mempunyai batang yang lurus mencapai ketinggian sehingga 35 hingga 70 m (115 hingga 230 kaki) atau lebih, dan lilitan batang berdiameter lebih 2 m (6.6 kaki). Ia adalah jenis kayu keras yang paling berharga di dunia. Contoh dipterokarpa tipikal ialah spesies Seraya (Shorea curtisii) dan Kapur (Dryobalanops aromatica) – dua pokok kayu popular yang banyak ditemui di seluruh Malaysia.

Hutan hujan adalah ekosistem yang amat rapuh. Sebaik sahaja hutan primer dimusnahkan, ia hanya boleh dipulihkan semula selepas beberapa tahun, itu pun tidak akan sempurna. Proses pemusnahan hutan bermula dengan mendedahkan tanah kepada hakisan yang teruk. Pemotongan, pemangkasan, dan penyingkiran kanopi mendedahkan bahagian permukaan tanah kepada larut lesap dan air larian permukaan yang disebabkan oleh hujan lebat dari hujan tropika. Semasa proses larut lesap nutrien akan disingkirkan dari bahagian permukaan tanah, menyebabkan lapisan tanah teratas hilang kesuburannya. Kedua-dua hakisan tanah dan larut lesap tanah berlaku secara serentak, mengakibatkan kehilangan kesuburan tanah secara beransur-ansur. Kehilangan kesuburan bermakna kehilangan keupayaan untuk menjana semula dengan semangat yang sama seperti yang dinikmati oleh hutan sebelum ini. Walaupun hutan sekunder akan tumbuh kembali, tetapi kali ini spesies yang lebih invasif selalunya akan menguasai ruang yang kini telah terdedah. Pemulihan status kepelbagaian kehidupan kepada tahap yang asal adalah mustahil untuk dicapai.

Dua ahli ekologi, Lee Dyer dan Deborah Letourneau, menggambarkan fenomena yang dipanggil “lata kepelbagaian” atau “diversity cascades” di hutan Costa Rica. Mereka memerhatikan bahawa apabila pemangsa baru diperkenalkan kepada pokok renek tumbuhan Piper (keluarga lada), komuniti invertebrata ini dengan cepat berubah dan menjadi merosot. Fenomena lata kepelbagaian jelas menyokong hipotesis bahawa hutan hujan sememangnya adalah satu ekosistem yang amat rapuh, sangat terdedah kepada gangguan walaupun gangguan itu kecil sekalipun. (Sumber: Earthwatch Institute: Ecologists Test the Fragility of Rainforest Communities. www.earthwatch.org)

Lata kepelbagaian ini berlaku di mana sahaja apabila sebahagian kecil hutan diganggu. Satu lata kecil menambah kepada lata yang lebih besar yang kemudiannya bertukar menjadi satu malapetaka – kehilangan kanopi hutan, hakisan tanah dan kehilangan nutrien tanah, kehilangan biodiversiti, dan akhirnya kehilangan satu ekosistem yang kita panggil hutan hujan tropika. Memang benar bahawa negara-negara di Asia Tenggara, terutamanya Malaysia dan Indonesia, masih giat membangunkan asas ekonomi mereka untuk mendokong populasi yang semakin meningkat dan membawa sebahagian besar daripada mereka keluar daripada kemiskinan. Dan hutan dianggap sebagai aset semula jadi paling berharga yang mungkin dimiliki oleh negara-negara ini. Hak untuk membangunkan ekonomi dan menggunakan sumber sendiri dalam sempadan negara sendiri sememangnya tidak boleh diketepikan. Walau bagaimanapun, kita harus bertanya, apakah pengembangan berterusan berbagai aktiviti ekonomi dalam bentuk pembalakan, penanaman pokok getah dan kelapa sawit, pembinaan lebuh raya, empangan hidro-elektrik, pertanian tanah tinggi, dan kediaman manusia – adakah semuanya mampan dalam jangka panjang?

Ahli biologi yang memenangi Hadiah Pulitzer dari Harvard, Edward O. Wilson dengan pedih mengingatkan kita:

“Walaupun malapetaka yang menimpa kita mungkin boleh dibaiki dalam beberapa generasi, proses kemusnahan yang berterusan bermula pada 1980-an akan mengambil masa berjuta-juta tahun lamanya untuk diperbetulkan. Kehilangan kepelbagaian genetik, spesies dan habitat disebabkan oleh pemusnahan alam semula jadi adalah satu dosa dan kebodohan yang paling tidak mungkin dapat dimaafkan oleh generasi akan datang terhadap generasai masakini”.

Ahli-ahli ekologi menganggap dunia nusantara adalah satu “titik panas” atau “hotspot” kepada biodiversiti. Kita punya kepelbagaian alam yang terbaik di dunia, tetapi ianya berada dalam keadaan yang amat terancam. Jika kita tidak bertindak sekarang, bila lagi?

Di mymolek.com kami berhasrat untuk membangkitakan kesedaran generasi kini terhadap peri pentingnya untuk kita mengekalkan kelestarian alam demi untuk masa depan umat manusia. Hutan hujan tropika di seluruh Nusantara mempunyai khazanah alam terpendam yang berupaya untuk merawat berbagai musibah penyakit dan memberikan kesejahteraan kepada umat manusia sejagat. Kami menyeru semua pihak berkepentingan untuk menyokong usaha memelihara kepelbagaian biologi yang kaya di hutan kita di seluruh Nusantara.