Tongkat Ali atau nama saintifiknya Eurycoma longifolia bolehlah dinobatkan sebagai “Raja Segala Herba” kerana statusnya sebagai bahan botanikal yang termasyhur, dikenali oleh semua golongan di seluruh nusantara. Bukan setakat nusantara yang mengenali Tongkat Ali, ianya tersohor di seluruh dunia. Penuis pernah menjumpai minuman tenaga Tongkat Ali di sebuah kedai runcit di Kashgar, sebuah bandar terpencil di wilayah Urumqi, China. Penulis juga pernah menguruskan ekspot Tongkat Ali ke negara United Arab Emirates.
Tongkat Ali juga dipanggil dengan nama “pasak bumi” dan “setunjang bumi” dan berbagai nama lain lagi. Hanya bahagian akarnya digunakan di dalam perubatan tradisional Melayu, kebanyakannya untuk merawat berbagai masalah kesihatan seperti demam, ruam, bengkak kelenjar, bisul, luka, cirit-birit, kemandulan, dan sebagai tonik selepas bersalin.
Rasa akar Tongkat Ali yang pahit itu datangnya dari bahan aktif yang dinamakan sebagai quassinoid, iaitu satu kumpulan melokeul yang mempunyai aktiviti biologikal yang bertindak mempengaruhi metabolisma atau fungsi sel-sel dalam badan manusia. Terdapat banyak kajian pra-klinikal yang menunjukkan quassinoid bertindak sebagai anti-parasit malaria, anti-virus, dan anti-radang. Beberapa kajian makmal juga menunjukkan potensi ekstrak Tongkat Ali untuk merencat sel-sel kanser payudara, kanser hati, dan juga leukimia. Namun kesan sampingan terhadap sel-sel biasa (bukan kanser) tidak dapat ditentukan kerana ujikaji yang dijalankan terhad ke atas sel-sel kanser sahaja.
Tongkat Ali dan Kekuatan Seksual
Apa yang menarik ialah Tongkat Ali dianggap mempunyai pengaruh fungsi libido (kekuatan seks) lelaki. Memang Tongkat Ali digunakan secara tradisional di dalam merangsang keupayaan seks kaum lelaki di alam nusantara. Terdapat beberapa kajian yang menunjukkan bahawa Tongkat Ali merangsang pengeluaran testosterone, iaitu hormone yang mempegaruhi kekuatan seks lelaki. Biasanya kandungan testosterone di dalam badan kita akan berkurangan akibat usia yang tua atau seustau penyakit. Kekurangan testosterone akan menyebabkan kurangnya keinginan seks, masalah erectile dysfunction (lemah batin), mati pucuk, dan kemandulan di kalangan lelaki. Namun kajian-kajian ini adalah hanya pada peringkat pra-klinikal (iaitu di dalam makmal dan di peringkat sel dan haiwan seperti tikus makmal) sahaja, iaitu belum disahkan dengan secara menyeluruh memberikan kesan metabolisme di dalam badan manusia.
Kajian Klinikal Menunjukkan Tingkat Ali Mungkin Berkesan Merawat Keresahan atau Kegelisahan (Anxiety) dan Mengawal Tekanan (Stress).
Satu kajian pra-klinikal terhadap tikus oleh Chang & Cheang (1999) memberikan bukti bahawa ekstrak Tongkat Ali mempunyai kesan anxiolytic atau berupaya mengurangkan anxiety (keresahan dan kegelisahan).
Pada tahun 2013 satu kajian klinikal yang dijalankan di Salt Lake City, Utah, USA melibatkan 75 orang sukarelawan melapurkan bahawa supplemen Tongkat Ali (iaitu Physta 200mg/sehari dikeluarkan oleh Biotropics Berhad, Malaysia) berupaya merubah profail hormone (meningkatkan testosterone dan mengurangkan cortisol), dan mengurangkan tekanan dan ketegangan (stress and tension) dan kekeliruan. Kajian klinikal ini memberikan satu harapan kepada potensi Tongkat Ali untuk diterima sebagai suplemen yang berkesan di dalam mengawal emosi seseorang dengan memberikan ketenangan diri dan sesuai untuk dijadikan minuman semasa istirehat.
Aspek Keselamatan
Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa ekstrak Tongkat Ali adalah selamat digunakan pada tahap dos 400 mg setiap hari. Namun begitu masih tidak ada satu kajian yang dapat mengesahkan keselamatan pengunaan Tongkat Ali pada tahap jangka panjang. Kajian terhadap Tongkat Ali masih berterusan. Anda perlu merujuk kepada pakar jika anda mempunyai sebarang masalah kesihatan yang perlu dirawat.
Rujukan
- https://globinmed.com/medicinabl_herbs/eurycoma-longifolia-jack-105849/
- https://www.healthline.com/nutrition/tongkat-ali-longjack-review#benefits
Ang HH, Cheang HS. Studies on the anxiolytic activity of Eurycoma longifolia Jack roots in mice. Jpn J Pharmacol. 1999 Apr;79(4):497-500. doi: 10.1254/jjp.79.497. PMID: 10361892.
Talbott SM, Talbott JA, George A, Pugh M. Effect of Tongkat Ali on stress hormones and psychological mood state in moderately stressed subjects. J Int Soc Sports Nutr. 2013 May 26;10(1):28. doi: 10.1186/1550-2783-10-28. PMID: 23705671; PMCID: PMC3669033.