Pokok kelor atau Moringa atau nama saintifiknya Moringa oleifera juga dikenali sebagai merunggai, rambungai, rembungai, lemunggai. Moringa juga dikenali sebagai “pokok kehidupan” (tree of life) dan “pokok ajaib,” (miracle tree). Ianya diklasifikasikan sebagai tumbuhan herba yang amat penting kerana menafaat perubatan dan khasiat untuk kesihatan yang dipercayai secara turun temurun.
Secara tradisinya di benua India dan juga di Nusantara, tumbuhan ini digunakan untuk menyembuhkan luka, sakit, ulser, radang hati, penyakit jantung, barah, dan keradangan umum. Lenggai atau buahnya yang berbentuk pod kekacang yang muda boeh dimasak bersama kuah kari. Manakala daunnya boeh dijadikan sayur dan enak digoreng bersama telur.
Satu kajian semakan (review) yang agak menyeluruh yang diterbitkan di dalam International Journal of Molecular Science pada tahun 2023 menyatakan bahawa kajian farmakologi mengesahkan ekstrak Moringa mempunyai potensi berbagai kesan yang baik seperti hepatoprotektif (melindungi sel hati), kardioprotektif (melindungi sel jantung), dan anti-radang. Setakat ini, lebih daripada seratus sebatian dari bahagian berlainan Moringa oleifera telah diperincikan secara saintifik mengandungi alkaloid, flavonoid, antrakuinon, vitamin, glukosida, dan terpenes – iaitu bahan-bahan fitokimia yang ada potensi untuk bertindak cergas sebagai bahan aktif di dalam memenuhi keperluan hidup yang sihat bagi manusia.
Kajian farmakologi menunjukkan bahawa bahan aktif Moringa telah berkesan menyembuhkan pelbagai penyakit seperti sakit neuropatik, kanser, hipertensi, diabetes, dan obesiti. Namun begitu, harus diingatkan bahawa kajian-kajian ini adalah hanya pada peringkat makmal dan beberapa fitokimia masih belum diterokai untuk kemungkinan manfaat terapeutiknya. Kebanyakan kajian ini dijalankan di India, Brazil dan China. Kajian-kajian dari negara Eropah dan Amerika Utara adalah amat terhad. Ini adalah disebabkan negara barat belum mengenali Moringa dengan begitu meluas.
Kajian-kajian di peringkat makmal (pra-klinikal) banyak menunjukkan menafaat yang boleh diperolehi dari Moringa. Daun Moringa yang baru dipetik dari pokok adalah sumber vitamin A yang baik. Vitamin A diketahui bahawa vitamin A mempunyai fungsi penting dalam penglihatan, pembiakan, pertumbuhan dan perkembangan embrio, kecekapan imuniti dan pertumbuhan sel-sel. Vitamin A yang didapati wujud di dalam daun-daun Moringa adalah bersumberkan kepada karotenoid yang ada di dalam daun-daun tersebut.
Selain dari Vitamin A, daun-daun Moringa segar juga didapati mengandungi 200 mg Vitamin C untuk setiap 100 g daun segar. Ini bermakna daun Moringa mempunyai paras Vitamin C yang lebih banyak dari buah oren. Daun Moringa juga berupaya melindungi tubuh daripada pelbagai kesan buruk radikal bebas, bahan pencemar dan toksin serta bertindak sebagai antioksidan. Daun segar Moringa juga adalah sumber vitamin E yang baik, dengan kadar kepekatan yang serupa dengan apa yang terdapat di dalam kacang tanah.
National Institute of Health USA menyenaraikan sejumlah 34 kajian klinikal yang sedang dan telah siap dijalankan oleh berbagai institusi di seluruh dunia terhadap Moringa (Rujukan: www.clinicaltrials.gov ). Daripada 34 kajian yang didaftar, hanya 19 telah sempurna dijalankan. Di antara kajian klinikal yang dijalankan ialah tentang kegunaan Moringa dalam membantu mengukuhkan kekuatan tulang, mengawal diabetes type 2, dan menambah kandungan haemoglobin di dalam darah.
Hanya satu kajian klinikal sahaja yang melapurkan hasil kajian mereka di dalam laman sesawang tersebut. Kajian tersebut melapurkan bahawa ibu-ibu yang sedang menyusui anak kecil yang mangambil serbuk Moringa 20 gm setiap hari di dalam bubur nasi selama 3 bulan dapat meningkatkan jumlah susu yang dikeluarkan jika dibandingkan dengan ibu-ibu yang hanya memakan bubur kosong (tanpa Moringa). Kajian tersebut juga menunjukkan bahawa serbuk Moringa sebanyak 20 gm yang dimakan Bersama bubur nasi selama 3 bulan tidak mempunyai apa-apa kesan sampingan yang merbahaya kepada ibu-ibu yang menyusu dan anak-anak mereka. Namun begitu pembaca harus diingatkan bahawa skop dan kaedah kajian tersebut adalah terhad dan ada banyak kekurangan terutama dari segi statistik.
Rumusan
Moringa adalah herba yang tidak asing lagi bagi penduduk benua Kecil India, Afrika dan Asia Tenggara. Ini adalah kerana daun-daunan dan juga buah kekacang (pod) dari pohon Moringa digunakan bukan sahaja sebagai sayur-sayuran dan bahan masakan harian, tetapi juga digunakan secara tradisional di dalam merawat berbagai masalah kesihatan. Ia juga digunakan sebagai ramuan tradisional untuk menjaga kesihatan secara umum.
Terdapat banyak kajian makmal yang menunjukkan Moringa mempunyai bahan-bahan aktif yang berguna untuk kesihatan kita. Ini termasuklah bahan fitokimia, carotenoid, vitamin A dan Vitamin E. Ekstrak Moringa mempunyai potensi untuk merawat berbagai penyakit seperti diabetes, darah tinggi, dan penyakit hati. Satu kajian klinikal menunjukkan bahawa mengambil 20gm Moringa setiap hari boleh menambah pengeluaran susu bagi ibu-ibu yang sedang menyusu. Namun kajian klinikal terhadap populasi manusia secara meluas dan saintifik masih terlalu terhad.
Moringa bolehlah dianggap sebagai “super food” atau makanan berkhasiat istimewa yang baik dan berpotensi tinggi.
Rujukan:
- Pareek A, Pant M, Gupta MM, Kashania P, Ratan Y, Jain V, Pareek A, Chuturgoon AA. Moringa oleifera: An Updated Comprehensive Review of Its Pharmacological Activities, Ethnomedicinal, Phytopharmaceutical Formulation, Clinical, Phytochemical, and Toxicological Aspects. Int J Mol Sci. 2023 Jan 20;24(3):2098. doi: 10.3390/ijms24032098. PMID: 36768420; PMCID: PMC9916933.
- www.clinicaltrials.gov
- Vergara-Jimenez M, Almatrafi MM, Fernandez ML. Bioactive Components in Moringa Oleifera Leaves Protect against Chronic Disease. Antioxidants (Basel). 2017 Nov 16;6(4):91. doi: 10.3390/antiox6040091. PMID: 29144438; PMCID: PMC5745501.